Thursday, August 20, 2009

KABINET KAJI "BUANG" KAUM

Kaji gugur 'kaum' pada borang rasmi

PUTRAJAYA 18 Ogos - Kerajaan masih mengkaji cadangan untuk menggugurkan ruangan 'kaum' pada borang dan dokumen rasminya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, kerajaan sedang melihat setiap implikasi yang mungkin timbul sekiranya langkah tersebut dilaksanakan nanti.

"Perkara ini sedang dikaji dan kita akan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Beberapa perkara perlu dilihat sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan buku Siri Evolusi Kepimpinan 1 : Tinjauan Teori-Teori Terpilih yang ditulis oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Profesor Khairil Annas Jusoh di sini hari ini.

Muhyiddin menjawab pertanyaan pemberita mengenai cadangan beberapa pihak agar ruangan 'kaum' pada borang dan dokumen rasmi digugurkan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, cadangan berkenaan disuarakan oleh beberapa pihak kerana ia dilihat wajar dilaksanakan.

"Tujuan kajian ini dilakukan kerana ada cadangan dan pandangan mengenainya.

"Mungkin ada keperluan di pihak kerajaan untuk melaksanakannya supaya kita tidak lihat dari sudut kaum semata-semata," ujarnya.

Dipetik dari : Utusan Malaysia 19/08/2009

No comments: