Tuesday, January 5, 2010

RM100,000 untuk urus sawah terbaik

SABAK BERNAM - Kerajaan Negeri akan menyediakan RM100,000 sebagai insentif pengurusan persawahan terbaik mulai tahun ini sebagai menghargai usaha ahli jawatankuasa terhadap kejayaan program peningkatan hasil padi di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberian insentif RM100,000 setahun itu dinilai melalui pengurusan persawahan yang memperoleh peningkatan hasil tertinggi di seluruh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

Pecahan pemberian insentif berkenaan, menurut beliau terbahagi kepada tiga peringkat iaitu hadiah pertama RM50,000, kedua RM30,000 dan RM20,000 untuk tempat ketiga.

“Sokongan padu daripada kalangan ketua kampung, ketua blok, badan pengurusan berpusat, kelab padi serta pesawah dalam menjana pemikiran dan tenaga amat diperlukan untuk meningkatkan pendapatan golongan tani di negeri ini.

“Diharap insentif ini dapat meningkatkan motivasi dan menjadi suntikan semangat kepada semu ahli jawatankuasa Projek Peningkatan Hasil Padi di peringkat kawasan untuk melakukan yang terbaik demi kepentingan pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjayakan program lawatan ke Majlis Menuai Padi di Parit 15, Simpang 5 dekat sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, satu Pelan Jangka Panjang selama lima tahun (2009-2013) akan disediakan Kerajaan Negeri bagi melipatgandakan pengeluaran hasil padi di dua daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang menjadi antara pusat pengeluaran padi berkualiti di negara ini.

Menurutnya, purata hasil bersih 5.1 tan sehektar yang dicapai setakat ini akan disasarkan meningkat melebihi 7.5 tan sehektar pada 2013 dengan pengeluaran hasil keseluruhan kawasan sawah di Selangor seluas 18,355 hektar meningkat daripada 110,000 tan kepada 140,000 tan semusim pada penghujung 2013 nanti.

No comments: